"..aku mahu jadi lebih baik walaupun tidak bisa padamkan kesalahan-kesalahan masa lalu.."~Aini Amirah
Amira :)

Monday, 7 November 2011

Bila saya jumpa video ini di Youtube, saya teringat rancangan National Geographic yang ada memaparkan kisah Australian Penguins. Ianya satu analogi yang indah. Bagaimana kejadian makhluk ciptaan-Nya boleh mengajak kita berfikir dan merenung kebesaran-Nya. Tapi video pendek ini cukup memberikan kita kesedaran.
Dalam video ini, penguin betina kelihatan menuju ke satu destinasi untuk bertelur. Setelah bertelur, penguin betina ini akan memberikan telurnya itu kepada si jantan ("suaminya") untuk dieramkan. Si betina akan bergegas ke laut untuk memburu dan makanan selama 4 bulan. Selama 4 bulan itulah si jantan akan menjaga telur yang telah diamanahkannya itu tanpa meletakkan telur itu ke tanah walaupun sesaat kerana dikhuatiri anaknya akan mati kesejukan. Selama 4 bulanlah si jantan akan berdiri tanpa rehat dan makanan untuk memastikan anaknya menetas. Walau dihujani salji tebal, penguin jantan tersebut akan berdiri tanpa berganjak demi keselamatan anaknya.

Bila tiba musim bunga, anak penguin itu mula menetas dan si penguin jantan masih lagi menjaga anaknya dengan penuh kesabaran walaupun telah menahan lapar selama 4 bulan. Si penguin jantan akan memberikan susu kepada anaknya dan itulah makanan pertama anaknya. Beberapa ketika selepas itu, si penguin betina akan balik setelah puas memburu. Si betina akan terus menuju ke arah "suaminya" dan mengambil alih tugas untuk membesarkan si anak dan memberikan anaknya makanan yang diburu. Si jantan pula akan terus ke laut untuk makan dan memburu. Sekiranya si penguin betina mati di tengah lautan, si penguin jantan dan anaknya juga akan turut mati kelaparan kerana si penguin jantan tidak akan meninggalkan anaknya tanpa si penguin betina.
Inilah kehidupan spesies penguin di kutub Artartika. Mungkin di dalam National Geographic mengenai Australian Penguins sedikit berbeza dengan penguin di Artartika ini yang menceritakan dengan lebih terperinci bagaimana sipenguin betina dan jantan memburu di lautan demi memberikan makanan kepada anaknya. Ada di antaranya yang terpaksa berenang sejauh lebih 20 kilometer semata-mata ingin mendapatkan ikan. Ada yang mati tersangkut di enjin kapal dan ada juga yang diserang pemangsa.
Ibu ayah mereka mati tatkala anak mereka menantikan kepulangan mereka. Disebabkan faktor pencemaran dan merosotnya sumber makanan di lautan, ada penguin yang terpaksa berenang melebihi sempadan lautan dengan harapan dapat memberikan anak mereka makanan. Namun tanpa diduga, sekembalinya penguin ini di daratan untuk memberikan anak mereka makanan, apa yang tinggal hanyalah bangkai anak mereka yang mati akibat menahan lapar. Si penguin betina ini tidak mudah mengalah dan berputus asa. Ia kembali ke lautan sekali lagi untuk mencari suaminya. Jika kita di situasi penguin ini, adakah kita akan mengeluh atau pun bersabar?
Mungkin juga kita akan mengeluh kerana terpaksa mencari rezeki berbatu jauhnya dan berjauhan dengan keluarga atau pun bersedih kehilangan anak yang disayangi. Jika kita adalah ibu bapa, mampukah kita menerapkan nilai kasih sayang seperti mana yang ditunjukkan oleh penguin ini? Ironinya, ada manusia kini ada yang sering merungut tugasan kerja yang banyak sehingakan tiada masa untuk menguruskan keperluan di rumah. Walaupun di zaman serba canggih ini dengan seribu satu mesin untuk memudahkan kerja manusia, namun masih ada yang merungut. Bersyukurlah kita seadanya dengan segala nikmat kurnia-Nya. Kita masih ada mata untuk melihat dan membaca, kita masih ada tangan dan kaki untuk mencari rezeki.
Kita bersyukur kerana dilahirkan sebagai manusia khalifah di muka Bumi ini. Namun, sejauh mana amanah yang kita pikul ini terlaksana. Ada segelintir kita yang sering mengeluh dibebani ujian hidup dan sering menyalahkan takdir. Adakah kita mampu meneruskan kehidupan dengan redha dan sabar apabila segala nikmat, rezeki dan ahli keluarga ditarik? Mungkin sukar tetapi itulah ujian dari-Nya. Ujian inilah yang menguji keimanan setiap hamba-Nya. Apabila kita ditimpa ujian, ingatlah ia adalah tarbiyyah dari Allah. Takkan sesekali diuji hamba-Nya dengan bebanan yang tidak mampu dipikul hamba-Nya.
Hidup ini tidak selalunya dihujani ujian. Tanpa kita sedari, nikmat-Nya datang menghapuskan epilog sedih. Ya Allah, sesungguhnya banyak nikmat yang Kau berikan kepada kami. Tetapi mungkin kita yang tidak menyedarinya. Kita yang tidak mensyukurinya. Kita yang tidak pernah berpuas hati dengan nikmat itu. Teringat ada pepatah mengatakan "Melihat kehidupan insan lain boleh menjadi ikhtibar pada diri kita. Untuk belajar bersyukur, kita kena lihat kehidupan orang yang lebih susah daripada kita supaya ia mengingatkan kita bahawa ada lagi insan yang lebih malang dan memerlukan pertolongan...". Mungkin di mata kita, penguin itu hanyalah seekor haiwan yang lemah tetapi di sebalik kisah hidupnya, ada ikhtibar dan pengajaran yang boleh kita pelajari. Tidaklah Allah menciptakan sesuatu itu melainkan dengan menyuruh manusia itu berfikir.

from iluvislam

No comments:

Post a Comment